Monday, May 08, 2006

SESEJUK AIRMATA ABI, SEJUK LAGI PERUT IBU INI…

Hati abi tetiba terharu, macam-macam perasaan timbul bila abi baca artikel tentang kanak-kank umur 5 tahun dah boleh hafaz Al-Quran. Terpikir abi… bagaimana asuhannya... lalu beranganlah abi yang kanak-kanak itu adalah Umar anak abi hehe… Amin. Entah, kalau boleh pasti setiap ibubapa nakkan anaknya di tahap terbaikkan… semua nak anak yang berjaya… yang pintar… yang cerdas…

Sebenarnya abi memang dari dulu mengharapkan ada dikalangan ahli keluarga abi ni seorang hafiz… Siapa taknak kan ??? Hafiz ni boleh memberi syafaat di akhirat nanti, di hari tiada yang lain boleh membantu selain nabi… Ingat!!! Hafiz boleh memberi syafaat kepada 10 orang bersamanya… Tapi tak tahulah Umar mampu atau tidak… Abi tak nak paksa… lagipun buat masa ni abi takde anak yang lain, kalau Umar tak mampu nak buat macamana… sedang abi sendiri pun tak mampu menjadi seorang hafiz… Cuma abi nak cuba asuh Umar kea rah itu…

Bukannya senang, baca je artikal kat bawah ni bagaimana keluarganya mendidik anak mereka… mungkin abi tak sanggup dan tak sampai lagi ke tahap itu kot… Rumah mereka, yer rumah mereka… bukan seperti rumah lain… tak de TV. Pelik ke tak de TV... takdelah pelik pun cuma bunyinya mungkin agak janggal pada zaman sekarang ni. Rumah abi erm.. kalau boleh semuanya nak bertemankan TV, makan nak depan TV, tidorpun kalau dapat nak lena depan TV… minum-minumpun mesti depan TV, lepas satu cerita ke satu cerita dari Indon, beralih ke Thailand kemudian Philipine, Korea... dan akhirnya sampai juga ke Mexico... walaupun kaki belum pernah jejak ke sana. Itulah betapa hebatnya pengaruh TV walaupun bukanlah fokus sangat kat TV tu tapi dah jadi satu tabiat mesti dengar suara TV, kata orang halwa telinga… Betullah kata ornag bijak pandai… nak kan anak yang hebat kita juga mesti hebat… kita bersama-sama mereka dalam setiap ketika…

Oklah tak perlu abi berceloteh panjang… Moga artikel ni dapat memberikan motivasi untuk kita dalam membina keluarga yang soleh….


NURAMIRAH : Hanya Perlu Dua Tahun Menjadi Hafizah


Kemampuannya menghafaz 30 juzuk Al-Quran pada usia tujuh tahun amat membanggakan dan kejayaannya muncul naib johan pertandingan tahfiz peringkat negeri Perak pasa sambutan Maulidurrasul 11 April lalu memberi kepuasan kepada kedua ibubapanya yang berjaya mengasah bakat luarbiasanya.

Nuramirah Azhari, 10, yang mula mengenal Al-Quran pada usia 5 tahun berjaya menamatkan hafalannya dua tahun kemudian selepas dilatih sehelai muka surat setiap hari oleh ibunya Nurzahidah Hashim, 37. Dia belajar antara tujuh hingga lapan jam sehari.

Tanpa menunjukkan sebarang rasa jemu, Nuramirah empat beradik bersama abangnya Muhammad Adam 12, Nurnabilah 8, dan Muhammad Amin 5, berlatih menghafaz Al-Quran empat kali sehari iaitu waktu pagi, tengah hari, petang dan malam untuk mengasah daya ingatan mereka. Lebih membanggakan Nuramirah sudah mempunyai 10 orang anak murid berusia antara 6 hingga 12 tahun sejak setahun lalu dan dia berazam memastikan anak-anak muridnya itu berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran dalam temph 2 tahun dengan berlatih sehelai muka surat setiap hari.

Ketika ditemui di kediamannya di Kapung Tengku Husin, Gugusan Manjol, Ipoh, Perak, Nuramira menyatakan rasa gembira kerana tarikh lahirnya mengikut kalendar Islam adalah sama dengan tarikh lahir Rasulallah SAW. “ Mungkin ini kelebihannya ( sama tarikh lahir dengan Rasulallah ), tetapi yang penting kalau hendak jadi seorang Huffaz atau Hafizah yang baik kita mesti bersungguh-sungguh ”, katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor atau pensyarah universiti.

Ibunya, Nurzahidah dan bapanya, Azhari Abu Hassan, 39, seorang pelukis pelan mengajar Nuramirah dan anak-anaknya menghafaz Al-Quran setiap hari sebaik sahaja mereka berusia 5 tahun sementara anak bongsunya, Muhammad Aslam, yang baru berusia 2 tahun diberi pendedahan awal melihat abang dan kakaknya mengaji.


JADUAL


Menurut Nurzahidah, beliau dan suami menyediakan jadual waktu khas untuk dipraktikkan oleh anak-anaknya. Bermula pukul 5 pagi mereka disuruh bangun membersihkan diri untuk bersolat tahajjud, subuh dan membaca Al-Quran sebelum berehat selama sejam setengah bermula pukul 7 pagi.

Selepas dikejutkan semula pada pukul 8.30 pagi untuk membersihkan diri dan bersarapan mereka akan berlatih semula menghafaz Al-Quran pada pukul 9.45 pagi hingga satu tengahari sebelum berhenti rehat untuk bersembahyang zohor dan makan tengahari.

Pada pukul 2 petang hingga 2.30 petang anak-anak diajar ilmu dakwah, akhlak, matematik, sains dan bahasa Inggeris. Mereka akan direhatkan selama sejam untuk tidur pada pukul 3 hingga 4 petang sebelum dikejutkan untuk sembahyang asar dan kembali menghafaz Al-Quran sehingga pukul 6.15 petang.

Nurzahidah memberitahu, anak-anaknya akan berehat semula selama 45 minit untuk bermain dan pada sebelah malam seawal pukul 7 mereka sudah dihidangkan makan malam sebelum kembali menghafaz sehingga pukul 9.45 malam bersama anak-anak muridnya seramai lebih 30 orang. “ Pada pukul 10.30 malam hingga 11.30 malam mereka akan disuruh berlatih sekali lagi menghafaz dan pada waktu malam juga saya akan turut mengumpulkan anak-anak untuk bermuzakarah bagi memberi ruang kepada mereka meluahkan masalah masing-masing kerana pendekatan kami berdamping sambil mendidik.

“ Inilah amalan harian kami dan pada hari-hari tertentu saya akan pastikan anak-anak dibawa menziarahi sanak saudara atau sahabat handai serta membawa mereka beriadah seperti pergi ke taman permainan atau berenang. Kami tidak mahu mengongkong kehidupan zaman kanak-kanak mereka,” jelasnya.

Walaupun memilih untuk tidak menghantar anak-anaknya mengikuti pendidikan formal, Nurzahidah dan Azhari mengajar mereka membaca, menulis dan mengira di rumah dan tetap bertegas untuk mengekalkan cara didikan sedemikian dengan mendaftarkan mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Menengah Agama kelak.

ILMU AKHIRAT

Dengan alasan tersendiri, mereka mahu kesemua anaknya dibekalkan dengan ilmu akhirat kerana yakin dengan cara tersendiri anak-anak akan menjadi manusia berguna dan kukuh pegangan agama berbanding anak-anak yang di hantar ke sekolah biasa.

“ Anak yang dihantar ke sekolah tidak akan berada dirumah untuk tempoh yang panjang, pagi ke sekolah, petang mereka mengikuti aktiviti kokurikulum, pergi mengaji dan malam mengikuti kelas tuisyen, justeru berapa jam yang ada untuk kita bersama-sama mereka ”, soalnya.

Mengenai petua yang diamalkan Nurzahidah memberitahu, semasa mengandung beliau akan membaca Yasin, membaca Al-Quran dan banyak berdoa ketika solat. Beliau juga akan memastikan hanya mendapat pemeriksaan dan rawatan dari doktor wanita sahaja ketika mengandung sehingga melahirkan anak.

Dari segi pemakanan pula, beliau tidak menyediakan masakan tertentu sebaliknya percaya air tangan setiap ibu merupakan pengikat kasih yang paling mustajab untuk melembutkan hati anak-anak mereka kerana kerana bermula daripada menumis sehingga menghidangkan makanan beliau akan berselawat dan membaca doa tertentu.

“ Saya dan suami akan duduk bersama anak-anak untuk bersarapan, makan tengahari, petang dan malam bersama-sama kerana pada kesempatan itu kita boleh bermuzakarah dan menjelaskan kepada mereka tentang sesuatu perkara seperti hubungan erat sesama keluarga, sanak-saudara dan sahabat ”, katanya.

Sementara itu, Azhari memberitahu, untuk membolehkan anak-anak memberikan tumpuan kepada menghafaz Al-Quran, rumahnya tidak mempunyai televisyen, sebaliknya mereka hanya menyediakan sebuah radio untuk membolehkan keluarga mengikuti perkembangan semasa.

“ Alhamdulillah anak-anak tidak pernah bersungut kerana sejak kecil lagi mereka sudah diajar supaya menjadi seorang Hafiz, malah saya bimbang dengan adanya televisyen tumpuan mereka pada Al-Quran sedikit terganggu. Saya juga tidak akan memewahkan anak-anak dengan wang ringgit kerana tidak mahu mereka lalai sebaliknya membelikan barangan yang perlu sahaja”, katanya.



Menurut Azhari, ibubapa yang berhasrat mendidik anak sebagai Hafiz perlu mengikis tanggapan bahawa mereka juga perlu menjadi Hafiz kerana beliau dan isteri bukannya Hafiz tetapi bersyukur kerana dapat mendidik anak-anaksebagai Hafiz dan mempunyai lebih 30 orang anak murid.

Utusan Malaysia ( MEGA )
03 / 05 / 2006


Sejuk perut ibu mengandung… Bagi abi, abi tetap mengharap akan mendapat seorang anak yang Hafiz dalam keluarga satu hari nanti… Amin Ya Rabbil Alamin.

4 comments:

MOKCIK AZWA said...

Assalamualaikum....ya, memang bangga sungguh membaca kemampuan adik Noramirah dapat menghafaz Al Quran pada usia yang sangat muda. Menjadi impian semua ibubapa mendapat anak2 seperti beliau.

Respek dengan ibubapa Noramirah yang menunjukkan sungguhpun anak2 tak dihantar ke sekolah sekular tetapi tetap berjaya dibimbing.

TV sebenarnya banyak melalaikan kita, tetapi celik mata saja kita dah disajikan dengan TV...hingga tak boleh imagine hidup ini jika takde TV.

Anonymous said...

Alhamdulillah, itu anugerah Allah untuknye, bagi saya (walaupun blum ada anak lagi) didikan bergantung juga pada anak tu sendiri, kalo didik baik sekalipun, kalo dibelakang ibu bapa buat jahat..bila depan mak ayah, pijak semut pun tak mati..
apepun, redho dariNya memang pentingkan...

Kaklong Syikin said...

Allahuakbar..itulah, kalau hendak seribu daya..tak hendak seribu dalih.

doa saya anak ni istiqamah dengna apa yang dia pegang sekarang. amin

tq for this entri. bila kenang balik..makin kita melangkau abad demi abad..sbnrnya kita menuju ke alam akhirat.

saya kena banyak muhasabah diri juga ni. tq sekali lagi.

zino said...

memang sejuk hati ibu bapa kalau ada anak yg ,menjadi hafiz.. macam tu..

pengaruh TV ni memang cukup kuat.. semerata dunia kita dah sampai hanya dengan duduk di depan TV je..tak lama lagi semua tertumpu ke jerman.. siang malam ke jerman..