Friday, January 20, 2006

KISAH ORANG KECIL

SECEBIS KISAH KEHIDUPAN…………………

Tengah dok belek-belek tabloid harakah (maaf kalau ada yang fobia dengan akhbar ni…. ) yang kawan kasi minggu lepas Abi tertarik dengan satu artikel. Abi bukanlah peminat politikpun sekadar sesekali layan pandagan kedua. Rasanya elok juga kalau artikel ini dikongsikan bersama mungkin ada kebaikan untuk kita sama renungkan. Lagipun Abi baru nak perangatkan blog Abi yang dah lama sangat sejuk ni…….. elok juga Abi mulakan dengan artikel di bawah :

RINTIHAN ORANG KECIL YANG JARANG DIPEDULIKAN
Oleh Abdul SHukur Harun

Zamri Amin 37, kerani biasa syarikat insuran di tengah-tengah Kuala Lumpur. Setiap hari, Toyota lamanya berusia tujuh tahun membawanya dari rumah di Puchong ke tempat kerja. Bukan mudah untuk sampai ke pejabatnya, terpaksa menempuh jalanraya yang sesak. Pilih jalan manapun, kesesakan tidak dapat dielak. Kesesakan sinonim dengan KL, apatah lagi bila banjir melanda kesesakan berganda.

Jika hujan, kebimbangan utama ialah jalan rendah yang dilalui banjir, bimbang pokok besar tumbuh samada di tengah jalan atau tempat dia meletakkan keretanya. Beberapa rakannya rugi besar selepas kereta ranap ditimpa pokok. Ini kebimbangan biasa orang seperti Zamri, golongan berpendapatan sederhana rendah. Isterinya surirumah sepenuh masa, menjaga tiga anaknya. Mendiami flat dua bilik yang dibelinya dengan bayaran bulanan RM250

Rungutan Zamri, apabila ada saja kesempatan berbual dengan rakan sepejabat atau di rumah dengan isteri, ialah mengenai jalanraya yang sentiasa sesak dan harga barang harian yang terus naik sejak harga minyak naik 20 sen beberapawaktu lalu, tetapi kerungsingan itu kiranya masih belum memuncak sehingga kerajaan mengumumkan kenaikan 30 sen herga minyak. Pada suatu pagi minggu, dia ke pasar bersama isterinya dan tercetuslah keluhan berat kerana harga sayur, ikan, ayam, daging, tauhu, kelapa dan barang-barang lain terus naik.

“ Apa boleh buat,” kata seorang peniaga ikan dipasar itu kepadanya, “ kita ambil ikan dari orang mahal kita jual mahal jugalah. Kalau tidak macamana nak meniaga.” Belum sempat dia berhujah, peniaga sayur sebelah menambah, “ kalau dapat kami nak jual murah, tapi kami dapat mahal dari pemborong. Kami bawa ke sini dengan lori dari pasar borong. Minyak naik; jadi kena naiklah.” Zamri berusaha menolak hujah peniaga ini, tetapi ternyata sukar.

“ Kalau minyak naik, diesel naik, apa barangpun naik. Encik fikirlah kerana semua guna lori, van,” kata peniaga itu. Bagaimanakah orang seperti Zamri dan isterinya hendak berhujah atau mematikan hujah peniaga ini seperti yang disaran seorang menteri, kononnya kalau peniaga itu hendak naikkan harga, tanya dia dulu, berhujah dengan dia dulu.
Akhirnya orang seperti Zamri terpaksa juga membeli. Selalunya RM40 memadai untuk membeli keperluan harian beberapa hari. Sejak harga minyak naik ternyata tidak cukup. Belum lagi makanan dan susu serta pakaian tiga anaknya, yang seorang sudahpun memasuki darjah satu sekolah yang tak jauh dari rumahnya, tetapi terpaksa juga dihantar dengan kereta dan diambil oleh kawan isterinya bila pulang.

Orang seperti Zamri yang mempunyai tiga anak dan seorang isteri, berpendapatan RM1500 sebulan, tidak termasuk overtime, sudah merasakan demikian peritnya kehidupan dengan kenaikan harga barang, betapa pula mereka yang berpendapatan lebih rendah. Kini Zamri merancang naik bas saja ke pejabat kerana belanja minyak kereta yang bertambah mengambil peruntukan harian yang lain. Ini sangat merungsingkannya sementara harga barangan harian terus naik.

Beberapa hari dicubanya bas. Dia terpaksa keluar rumah jam 7.00 pagi, sebaik sahaja selepas solat subuh di surau berdekatan, dia bergegas mandi dan berpakaian, isterinya menghantar anaknya ke sekolah. Jadual baru ini cuba dilakukannya dengan harapan dapat berjimat, tetapi kesulitan baru pula timbul dan ini sangat berat dihadapinya. Iaitu apabila dia berhadapan masalah menunggu bas hampir satu jam baru bas tiba membawanya ke KL, melalui jalan sesak. Akhirnya tiba di pejabat sering lewat.

Dia teringat, sudah cukup lama kerajaan bercadang memperbaiki system pengangkutan awam. Malangnya hingga kini tiada perubahan. Monorel, LRT ada fikir Zamri tetapi stesen LRT jauh dari rumahnya. Kalau menggunakan LRT atau Monorel, ketika tiba di KL jauh pula berjalan kaki menuju pejabat.

Zamri sudah cukup lemas dengan masalah ini dan lebih melemaskan lagi dengan tekanan harga barang. Dia mendapat khabar semua bas, termasuk bas ekspres sedang berunding meminta kebenaran kerajaan menaikan tambang kerana harga diesel pun naik. Dia terfikir sendiri bagaimana kehidupan saudara maranya di Baling dan Padang Terap. Begitu juga keluarga sebelah isterinya di Pahang dan Terengganu yang bekerja sebagai nelayan dan petani mengambil upah memungut kelapa kering. Keadaan jauh lebih parah.

Kalau orang sepertinya yang berpendapatan tetap, walaupun kecil di KL sudah sedemikian sukar menyesuaikan dengan tekanan harga barang, apalagi orang kampung. Antara saranan berjimat yang dianjurkan, kawal perbelanjaan kad kredit. Bayangkan siapa orang kampung yang ada kad kredit dan suka bersiar-siar dengan kereta. Orang kampung yang kebanyakkannya miskin hanya berbelanja dengan wang kertas malah duit syiling. Tidak pernah melihatpun kad kredit.

Akhirnya Zamri, mengambil keputusan untuk bersedia menghadapi keperitan ini. Dia tahu tiada siapa tempat orang sepertinya mengadu. Golongan menengah dan kaya di Damansara, Subang Jaya, Petaling Jaya, Country Height, Glenmarie, Country Home fikirnya, tidak akan merasa tercabar dengan kenaikan harga minyak dan harga barang ini. apatah lagi pak menteri dan tokoh korporat yang hidup dengan penih kemewahan.

p/s : Abipun belum pernah guna kad kredit. Nak gunapun tak pandai kot. Hehehe.